Wednesday, 11 June 2014

SEJARAH SEKOLAH



                                   
SKSP ditubuhkan pada tahun 1918. Pada peringkat awalnya sekolah ini didirikan dengan menggunakan kayu bakau beratap nipah dan berdinding daun nipah. Ia didirikan dengan semangat gotong-royong penduduk Kampung Sungai Pulau ketika itu.

Tapak sekolah ini didirikan  ditebing Sungai Bernam berhampiran sebuah kuala anak sungai yang menjadi pengkalan utama penduduk berulang-alik ke seberang dari Negeri Perak ke Negeri Selangor dan sebaliknya.

Jumlah murid yang mengikuti palajaran disekolah ini ketika itu seramai 25 orang di bawah pengawasan seorang Guru Besar pertamanya iaitu Cikgu Hamzah

Nama sekolah ini diperolehi daripada kedudukan geografinya dimana ia dididirikan iaitu mengambil nama sempena sebatang anak sungai yang mengalir dihadapan sekolah dan
di kuala anak sungai ini terdapat sebuah pulau kecil yang dijadikan sebagai pengkalan. Oleh kerana itu nama “ Sungai Pulau ” wujud ( Kombinasi Sungai dan Pulau ). Nama Sungai Pulau iti kekal sehingga ke hari ini bukan sahaja kepada nama sekolah tetapi juga kepada kampung di sini. Sekarang sungai dan pulau yang tersebut sudah tiada lagi. Anak sungai itu telah dijadikan sebagai taliair/ parit pembuangan air untuk kawasan Parit 17 Baroh.

Berdasarkan catatan tarikh, sekolah ini merupakan salah sebuah sekolah yang tertua
di kawasan Mukim Hutan Melintang. Kini sekolah ini berusia 91 tahun. Sebagai sebuah sekolah yang tertua, nostalgia perkembangannya menampakkan kewibawaannya dari semasa ke semasa. Pada awalnya murid datang belajar di sekolah ini bukan sahaja datang daripada Kampung Sungai Pulau tetapi telah merangkumi kampung-kampung sekitarnya seperti Kampung Sungai Sumun , Kampung Baharu, Kampung Tanjung Bayan, Kampung Bagan Pasir, Kampung Teluk ( Hutan Melintang sekarang ) dan kampung Sungai Dulang.

Pertambahan murid yang begitu pesat telah menimbulkan masalah kekurangan bilik darjah. Fenomena ini telah mendorong pihak Lembaga Pengurus Sekolah berusaha dengan memohon kepada pihak kerajaan mendapatkan peruntukan bagi membangunkan sebuah bangunan baru yang lebih besar dan sempurna.

Permohonan bekenaan telah diluluskan oleh pihak kerajaan pada tahun 1925 dan terbinalah sebuah sekolah di tapak baru, tidak jauh dari tapak asalnya. Tapak baru ini kekal hingga sekarang dengan keluasan 4 ekar, 2 Rod 1 Pole. Bangunan baru ini diperbuat daripada kayu bergegaji mempunyai 4 buah bilik darjah dan bertiang. Serentak dengan pembinaan sekolah tersebut 2 buah rumah guru turut didirikan.

Akibat daripada pertambahan murid yang semakin pesat, pada tahun 1950 pihak kerajaan telah memperuntukkan sebuah lagi blok bangunan yang baru berukuran 20 kaki 110 kaki konkrit dikenali sebagai sekolah cawangan. Oleh kerana blok bangunan ini dibina lebih 100 meter jaraknya dari bangunan asal bangunan sekolah di atas.

Sementara menunggu bangunan ini siap ini siap, sebahagian besar murid sekolah ini telah berpindah ke Sekolah Kebangsaan Sungai Sumun. Ini berikutan Sekolah Kebangsan Sungai Sumun telah siap pembinaannya dan telah digunakan. ( Pada masa itu SKSS dibina oleh orang kampung dengan beratap nipah dan dinding buluh, bukan bangunan yang ada sekarang serta bertiang nibung )

Setelah bangunan cawangan telah siap dibina murid yang menumpang di SKSS telah kembali semula ke SKSP tetapi tidak semua kerana sebahagiannya terus kekal di SKSS. Bangunan  cawangan ini mempunyai sebuah bilik Guru Besar dan 4 buah bilik darjah yang disekat dengan tirai( tiada dinding kekal ) berlantaikan simen dan berdinding separuh. Pada masa ini era tahun limapuluhan murid SKSP mencapai 400 orang. Untuk memberi keselesaan kepada murid-murid belajar, bangunan ini dinaikkan taraf dengan membubuh dinding papan sepenuhnya, bersiling, berlampu dan berkipas dalam sekitar tahun 1970 tetapi masih tidak didinding kekal( disekat menggunakan papan bidai ) Bangunan ini mengalami penaikkan taraf beberapa kali dan masih digunakan hingga sekarang.

Sesuai dengan arus perkembangan dan kemajuan Negara dari semasa ke semasa beberapa buah sekolah telah dibina di kampung-kampung berhampiran seperti SK Tanjung Bayan, SK Hutan Melintang, SK Kampung Baharu, Sk Sg Dulang dan Sk bagan Pasir, jumlah murid yang belajar disekolah ini mulai merosot sehinggalah yang ada pada hari ini. ( 98 orang  47 L  51 P pada tahun 2009 )

Pada tahun 1981 bangunan lama SKSP telah dirobohkan kerana tapaknya telah termasuk dalam projek pembinaan jalan raya Hutan Melintang -  Rungkup. Akibat daripada projek ini kesesakan bilik darjah berlaku sekali lagi. Namun atas daya usaha pihak PIBG dan Ahli Lembaga Pengurus Sekolah dan penduduk kampung memohon jasa baik pihak kerajaan memperuntukkan kewangan bagi membina satu blok bangunan sekolah yang baru.

Satu peruntukan di bawah kementerian Pembangunan Luar Bandar telah diberikan berjumlah RM 50 000.00 ( Lima Puluh Ribu Ringgit ) atas tiket Pembinaan/Projek Gotong-royong. Bangunan baru ini dapat disiapkan pada tahun 1987. Bangunan ini dibina bersebelahan dengan bangunan sekolah cawangan yang ada.

Pada tahun 1989 Kementerian Pendidikan Malaysia di bawah Skim Pinjaman Bank Dunia telah memperuntukkan sebuah bangunan sekolah baru yang lengkap dengan kemudahannya didirikan untuk Sekolah Kebangsaan Sungai Pulau. Peruntukan yang diberikan berjumlah hampIr setengah juta ringgit ( RM 440 000.00 ) Oleh kerana ia projek  kerajaan pusat, pembinaannya menggunakan plan baru yang mana tidak merujuk kepada bangunan yang telah sedia ada , telah terpisah dengan bangunan yang ada dengan jarak lebih 90 meter. Ini amat menyukarkan kepada guru dan murid berulang-alik dari bangunan lama dengan bangunan baru, lebih-lebih lagi ketika musim hujan.



GURU BESAR BARU

SKSP mempunyai guru besar baru.... Pn.Hjh. Hamidah Nor bt Ahmad